





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
26 FEB. 2026
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan Sumbangan Bantuan Fitrah Bagi Tahun 2026 berjumlah RM6,056,000 bagi meringankan beban penerima, terutama dalam membuat persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Sebanyak 12,112 golongan asnaf fakir miskin bakal menerima sumbangan berkenaan secara berperingkat.
Simbolik pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Iftar Jamaie yang melibatkan Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs yang diadakan di Kuala Lumpur, malam semalam.
Berkenan berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
MEMPERTINGKATKAN EKOSISTEM TADBIR
Di majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan agar setiap jawatankuasa MAIPs memainkan peranan yang saling melengkapi dalam memperkukuh dan mempertingkatkan ekosistem tadbir urus Islam di negeri Perlis ke tahap yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
Baginda turut menekankan bahawa usaha memperkasa pengurusan zakat dan wakaf secara lebih berimpak, memperluas pembangunan pendidikan serta latihan asnaf secara mampan, dan memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan akan memberi kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup golongan asnaf.
Inisiatif-inisiatif ini diyakini mampu mempercepatkan usaha ke arah pembasmian kemiskinan sepenuhnya di negeri Perlis dalam tempoh yang lebih singkat.
MEMBUKTIKAN KESUNGGUHAN MAIPs
“Pengukuhan institusi pendidikan dan kebajikan Islam membuktikan kesungguhan MAIPs untuk terus bergerak seiring dengan tuntutan semasa tanpa mengabaikan prinsip syariah serta nilai-nilai tradisi yang menjadi teras kekuatan institusi Islam di negeri ini,” titah Tuanku Raja Muda lagi.
Selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs, Baginda turut berkenan menyempurnakan Sesi Kurniaan Tauliah dan penyampaian Perutusan Lantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) di bawah MAIPs bagi tahun 2026-2027 di majlis tersebut
Terdahulu daripada itu Mohd Nazim membentangkan Pencapaian MAIPs 2025 dan Pelan Strategik Bersasar MAIPs untuk lima tahun akan datang. – JM
