Kekuatan pertahanan tunjang utama kedaulatan sesebuah negara – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
27 FEB. 2026

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa kekuatan pertahanan merupakan tunjang utama kedaulatan sesebuah negara.

Menurut Baginda, angkatan tentera yang berwibawa, berdisiplin serta sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi menjadi benteng ampuh dalam memelihara kemerdekaan, keselamatan dan maruah negara secara berterusan.

Tuanku Raja Muda bertitah, angkatan tentera bukan sekadar simbol kekuatan bersenjata, malah merupakan benteng terakhir negara yang dibangunkan melalui pengurusan sumber manusia yang cekap, pemilikan aset pertahanan yang mantap, strategi yang tuntas, serta doktrin yang sentiasa relevan dengan dinamika geopolitik global yang sentiasa berubah.

KEDUDUKAN GEOGRAFI MALAYSIA

Dalam titah tersebut, Baginda turut menekankan bahawa kedudukan geografi Malaysia yang strategik memberikan kelebihan signifikan dalam memperkukuh peranan negara di peringkat serantau.

Namun demikian, kelebihan itu menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi, khususnya dalam pengurusan keselamatan sempadan darat, laut dan udara agar sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan terpelihara.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, hubungan budaya serta ikatan kekeluargaan masyarakat di kawasan sempadan menjadi asas penting kepada kerjasama dan keharmonian serantau.

WAJAR TERUS DIPERKASA

Justeru, titah Tuanku ia wajar terus diperkasa melalui kawalan dan penguatkuasaan yang berkesan demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin.

Demikian titah Baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Iftar’ bersama warga Markas Pemerintahan Armada Timur (MAWILLA) 2 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Sandakan.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar.

Majlis Iftar Bersama Warga MAWILLA 2 ini diadakan bersempena Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Sabah (EKS PERBAH) Tahun 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 26 Februari hingga 1 Mac 2026.

MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURAHIM

Penganjuran majlis ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara Negeri Perlis dan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), khususnya warga Markas Pemerintahan Armada Timur serta anak kapal KD Kelantan yang berpangkalan di Kota Kinabalu, di samping menyemarakkan keberkatan Ramadan Al-Mubarak.

Program ini turut mencerminkan sokongan moral berterusan kepada pasukan keselamatan negara yang bertugas di Pantai Timur Sabah dalam memastikan keamanan dan kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar seluruh warga MAWILLA 2 terus memperkukuh keimanan, memperteguh istiqamah dalam menyempurnakan ibadah sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan, serta memelihara ukhuwah yang terjalin erat demi menjamin kesejahteraan agama, bangsa dan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *