

Oleh: Sholina Osman
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mula menjalankan siasatan lanjut terhadap individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran.
Kenyataan media MCMC memaklumkan siasatan lanjut ke atas individu berkenaan adalah mengikut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Tindakan ini diambil susulan penularan satu kandungan di platform Threads yang dimuat namenggunakan nama akaun “ryandaselva”, memaparkan perbuatan memijak al-Quran.
Kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian.
KETERANGAN INDIVIDU BERKENAAN
MCMC telah mengambil keterangan individu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam bagi melengkapkan siasatan.
Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai dingatkan agar menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara. – JM
