


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Perisikan dan Operasi Khas telah melaksanakan Ops Gegar di dua lokasi sekitar kawasan perindustrian kecil Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Februari 2026 bermula jam 11.00 malam dan menahan 107 warganegara asing.
Bertindak atas maklumat aduan dan risikan oleh Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis tersebut dan telah membuat pemeriksaan terhadap 224 individu yang berada di dalam kedua-dua premis tersebut terdiri daripada 171 warganegara asing dan 53 warganegara tempatan.
Hasil semakan awal telah membawa kepada penahanan 107 warganegara asing, terdiri daripada 65 wanita dan tiga (3) lelaki warganegara Thailand, 18 wanita warganegara Vietnam, 11 lelaki warganegara Bangladesh, 7 wanita warganegara Laos dan tiga (3) wanita warganegara Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.
Pasukan operasi telah menyita beberapa barangan yang dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti premis termasuk cip bayaran, kalung, set komputer dan sistem kamera litar tertutup (CCTV).
RISIKAN AWAL
Risikan awal mendapati premis-premis ini dikawal oleh pengawal keselamatan, manakala wanita warganegara asing dikendalikan oleh individu yang berperanan sebagai penyelaras atau βmummyβ bagi mengatur perkhidmatan melayan pelanggan dan persembahan pentas. Bayaran perkhidmatan dipercayai ditentukan berdasarkan sistem kad berwarna dengan kadar antara RM100 hingga RM1,314.
Kesemua warganegara asing ini ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut. Seramai tujuh (7) warganegara tempatan telah diberikan Notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.
Jabatan ini tidak akan berkompromi dan akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [ATIPSOM].
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat atau bersekongkol dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen dan digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan perundangan imigresen secara menyeluruh.
