






Oleh: Sholina Osman
1 MAC 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bahawa Eksesais Perlis-Sabah atau ‘EKS PERBAH’ merupakan manifestasi kerjasama strategik dan jangka panjang antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Perlis yang telah terjalin kukuh sejak tahun 2003.
Jalinan ini dibina atas asas kepercayaan, komitmen berterusan serta kepentingan bersama demi memastikan kebajikan anggota keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.
Sepanjang lebih dua dekad pelaksanaannya, EKS PERBAH menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.
Inisiatif ini bukan sahaja menumpukan kepada kebajikan anggota keselamatan di pos-pos kawalan diperairan Pantai Timur, malah diperluaskan melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
KEJAYAAN YANG DIKECAPI
Menurut Tyanku Syed Faizuddin Putra, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil sinergi erat antara jabatan-jabatan kerajaan, rakan strategik, pihak korporat serta sektor swasta.
Setiap sumbangan, tanpa mengira skala, memainkan peranan signifikan dalam memastikan program dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan berimpak tinggi.
Baginda turut menzahirkan harapan agar hubungan akrab yang terjalin menerusi EKS PERBAH dapat dijadikan pemangkin untuk memperluas jaringan kerjasama antara Perlis dan Sabah.
Potensi dalam bidang ekonomi, pelancongan serta pembangunan modal insan wajar diteroka secara lebih menyeluruh demi manfaat bersama.
MERANCANG DAN MELAKSANA
“Hubungan yang kukuh berteraskan kepercayaan akan membolehkan kita merancang dan melaksanakan lebih banyak program berimpak tinggi untuk kesejahteraan rakyat kedua-dua negeri,” titah Baginda.
Tuanku Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Iftar Jamaie dan Majlis Apresiasi EKS PERBAH yang berlangsung di Elopura Hotel, Sandakan.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.
Dalam ucapannya, Datuk Rahimi menjelaskan bahawa Majlis Apresiasi tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak di Sabah yang terlibat, khususnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan, anggota-anggota keselamatan serta jabatan-jabatan berkaitan yang telah memberikan kerjasama padu dalam menjayakan program EKS PERBAH Tahun 2026.
MERUPAKAN PROGRAM TAHUNAN
Beliau turut memaklumkan bahawa EKS PERBAH merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Perlis yang dimulakan pada tahun 2003, hasil cetusan idea dan juga diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah.
Program yang pada awalnya dikenali sebagai Ops Pasir sebelum dijenamakan semula sebagai Eksesais Perlis–Sabah ini merupakan lawatan rasmi Kerajaan Negeri Perlis ke kawasan-kawasan gerakan keselamatan di Sabah.
Eksesais tahunan ini turut disertai oleh barisan pentadbiran Negeri Perlis, ketua-ketua jabatan, tokoh korporat serta pakar motivasi daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Tujuan utama penganjuran EKS PERBAH adalah untuk mempamerkan sokongan moral kepada anggota keselamatan yang bertugas mengawal kawasan sempadan negara di Sabah.
PENDEDAHAN KEPADA DELEGASI
Di samping itu, program ini turut memberi pendedahan kepada delegasi mengenai cabaran sebenar operasi pasukan keselamatan, khususnya di kawasan sempadan perairan negara.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada wakil jabatan dan agensi dari Sabah sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka dalam menjayakan EKS PERBAH.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta semua agensi dan rakan strategik yang konsisten mendukung inisiatif ini selama lebih dua dekad.
“Semoga segala usaha dan kerjasama yang dilaksanakan ini diberkati serta terus menjadi jambatan ukhuwah yang mengeratkan lagi hubungan antara Negeri Perlis dan Negeri Sabah,” titah Baginda. – JM
