


Oleh: Sholina Osman
2 MAC 2026
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan individu yang memijak al-Quran akan didakwa dengan dua pertuduhan, esok (3 Mac).
Kenyataan media AGC memaklumkan
setelah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden memijak al-Quran oleh seorang individu bernama Vikneswaran a/l Selvanathan (“OYDS”) di Kuantan, Pahang yang tular di media sosial menerusi aplikasi Threads.
Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan tersebut mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap OYDS.
OYDS akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang mana perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.
MEMUTUSKAN UNTUK MENDAKWA
Selain itu, Jabatan ini turut memutuskan untuk mendakwa OYDS di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
Kedua-dua pertuduhan tersebut akan dikemukakan di Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pada 3 Mac 2026. – JM
