

.
๐ฆ๐๐ ๐ฃ๐ข๐ฅ๐ก๐, ๐ฒ ๐ ๐ฎ๐ฐ โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan petrol dalam dua kejadian berasingan di perairan Pulau Bum Bum dalam tempoh kurang sejam, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kedua-dua kejadian tersebut membabitkan rampasan sebuah bot enjin sangkut, enjin serta puluhan jerrycan berisi petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM20,000.
Mengulas lanjut berkaitan rampasan tersebut, beliau memaklumkan, kejadian pertama dikesan kira-kira pukul 5.30 petang apabila pasukan Bot KILAT 52 yang sedang melaksanakan Ops PLUTO TIMUR 2/2013 mengesan sebuah bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika barat laut Pulau Bum Bum.
Katanya, menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, tekong bot berkenaan bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.
โHasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan 15 jerrycan berisi petrol bersama sebuah bot enjin sangkut dan enjin Yamaha 40 kuasa kuda yang dianggarkan bernilai RM17,250,โ katanya.
Tambah beliau, kira-kira 50 minit kemudian iaitu sekitar pukul 6.20 petang, pasukan yang sama menemui longgokan jerrycan terapung di kedudukan 0.9 batu nautika utara Pulau Bum Bum.
Pemeriksaan lanjut mendapati, sebanyak 30 jerrycan berisi petrol dipercayai sengaja dibuang ke laut oleh penyeludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Nilai rampasan bagi kes kedua dianggarkan berjumlah RM1,500.
Kesemua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Kem Azumi, Semporna seterusnya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Semporna untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
โMaritim Malaysia memandang serius kegiatan penyeludupan barang kawalan di perairan negara. Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kestabilan ekonomi tempatan,โ tegas beliau.
Dalam pada itu, Amir turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim supaya menyalurkannya kepada Maritim Malaysia di talian kecemasan 999 bagi membantu usaha penguatkuasaan di perairan negara.
.
