






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
99 Speedmart bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mewujudkan ‘Foodbank Anjung Rezeki MAIPs’ yang merupakan inisiatif pertama sedemikian rupa dilaksanakan oleh syarikat berkenaan di negara ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan inisiatif murni tersebut yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu Lima, Jalan Kuala Perlis.
Sebagai rekod, usaha ini telah diimplimentasikan sejak beberapa bulan yang lalu di tiga lokasi iaitu Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai projek perintis, diikuti Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
SEBAGAI FASA KEDUA
Selepas ini ianya akan dikembangkan pula ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan UiTM Cawangan Perlis sebagai fasa kedua sebelum ke peringkat seterusnya.
Hadir sama ialah Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri DiRaja Sharifah Azwan Jamalullail, Engku Maharaja Lela Setia Paduka Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam ucapan Ketua Pegawai Operasi (COO) 99 Speedmart, Yong Eng Kwang, beliau menyatakan bahawa program tersebut selain sebuah inisiatif kebajikan, juga merupakan pendekatan yang menyeluruh dalam menyantuni komuniti yang memerlukan.
MENYELAMATKAN LEBIHAN MAKANAN
Pada masa yang sama, inisiatif ini turut berperanan menyelamatkan lebihan makanan yang masih elok daripada pembaziran, di samping mendidik masyarakat agar lebih menghargai setiap rezeki yang dikurniakan.
Beliau turut berharap agar inisiatif foodbank ini dapat menjadi contoh serta sumber inspirasi kepada lebih banyak syarikat swasta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan usaha murni ini.
Menurut Yong, dengan sokongan yang lebih meluas, manfaat program ini dapat diperluaskan sekali gus membantu lebih ramai rakyat secara lebih pantas dan efisien, selaras dengan tiga teras utama Foodbank iaitu menyantuni komuniti, menyelamatkan makanan dan menyayangi alam sekitar.
MENJALINKAN KERJASAMA ERAT
Beliau juga menzahirkan komitmen untuk terus menjalinkan kerjasama erat bersama MAIPs bagi memastikan pelaksanaan Anjung Rezeki MAIPs dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan.
Jalinan strategik antara institusi agama dan sektor swasta ini diyakini akan terus diperkukuh demi manfaat masyarakat pada masa hadapan.
Di majlis tersebut Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut kepada 150 orang asnaf terpilih yang hadir berupa wang tunai agihan zakat MAIPs dan juga bakul makanan serta 5 kilogram beras menerusi program Foodbank Anjung Rezeki ini.
Di Perlis kini sudah terdapat 14 buah 99 Speedmart beroperasi di dalam sistemnya yang sudahpun mencecah lebih daripada 3,000 buah di seluruh negara. Ia juga telah berkembang ke negara China dengan enam buah outlet setakat ini. – JM
