Pegawai Daerah, pasukannya perlu pantau rapat pelaksanaan projek berkepentingan kepada rakyat – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 MAC 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepada Pegawai Daerah dan pasukannya agar memantau secara rapat pelaksanaan projek yang berkepentingan kepada rakyat, khususnya yang bersifat mendesak.

Beliau berkata projek seperti penambahan bilik darjah bagi persediaan kemasukan murid Tahun 1 serta pembaikan sekolah daif mesti disegerakan, tanpa terikat dengan karenah birokrasi yang sering melambatkan tindakan.

Malah kata beliau perhatian juga mesti diberikan kepada penyelesaian isu setempat yang lama membelenggu rakyat seperti banjir kilat, tanah runtuh, lampu jalan, kediaman daif serta kekurangan infrastruktur asas di kawasan penempatan dan perindustrian.

“Saya turut menegaskan bahawa maklumat keperluan projek dan peruntukan mesti diselaraskan dengan lebih cekap antara semua pihak agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” kata beliau dalam hantaran di FB.

MESYUARAT PEMBANGUNAN DAERAH

Terdahulu Anwar menghadiri Mesyuarat Pembangunan Daerah Kulim bersama Menteri Dalam Negeri, Menteri Besar Kedah serta pimpinan Persekutuan dan Negeri.

Ini merupakan Mesyuarat Pembangunan Daerah ketiga yang dihadiri selepas Bentong pada Januari lalu dan Kinta pada Februari lalu.

Beliau berkata masalah rakyat tidak boleh dibiarkan berlarutan dan setiap usaha yang dirancang perlu benar-benar membawa penyelesaian yang dirasai di lapangan.

Jelas beliau pendekatan ini penting bagi memastikan dasar dan projek yang diumumkan tidak terhenti di peringkat perancangan, sebaliknya dilaksanakan dengan berkesan hingga ke peringkat daerah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *