

7 Mac 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
PMX yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang dan Kedah memaklumkan Hashim yang juga sahabat lamanya berada dalam keadaan baik dan mereka sempat berbicara agak lama.
“ Saya turut menyampaikan salam Azizah (isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kepada beliau (Hashim) dan keluarga, serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera buat Ustaz Hashim,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Hashim, 87, sebelum ini dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah, Perlis ke HPP pada 18 Feb lepas bagi menjalani prosedur pemasangan sten pada bahagian arteri paha susulan kecederaan dialaminya.
“Pagi ini saya ke utara tanah air untuk lawatan kerja di Pulau Pinang dan Kedah. Sebelum meneruskan jadual, saya singgah ke Hospital Pulau Pinang untuk menziarahi sahabat lama yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.
“Alhamdulillah, beliau dalam keadaan baik dan kami sempat berbicara panjang. Saya turut menyampaikan salam Azizah kepada beliau dan keluarga, serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera buat Ustaz Hashim, “ kata PMX lagi.
Di hospital yang sama, Perdana Menteri turut menziarahi seorang jururawat Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“ Saya hargai pengorbanan petugas kesihatan yang begitu besar jasanya dalam menjaga dan berkhidmat kepada masyarakat.
Sebelum beredar, saya mendapatkan perkembangan projek naik taraf kemudahan di Hospital Pulau Pinang agar usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan terus berjalan,’’ ujar Anwar lagi.
