






Oleh: Sholina Osman
10 MAC
Foto YTSP Perlis.
Perlis mempunyai keunikan tersendiri dalam aspek masakan dan makanan untuk dikunjungi oleh masyarakat dari Selatan Thailand kerana ia mempunyai pelbagai pakej makanan dengan harga yang berpatutan, Memiliki keaslian makanan Melayu utara, Status Halal yang diyakini, serta Gabungan rasa dua budaya Malaysia-Thailand yang enak.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik pelancaran Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Zab Inter@Sadao, sebuah restoran Thai terkenal di daerah Sadao yang terus menjadi pilihan pengunjung yang melintasi sempadan Malaysia–Thailand.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku telah disambut oleh Pengurus Zab Inter@Sadao, Phikul Kittinantapong.
PIHAK RESTORAN BERKENAAN
Promosi Masakan Perlis ini dianjurkan oleh pihak restoran berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis serta Restoran Shamiza Mohd Noor Guar Nangka.
Kurma Daging Perlis, sebuah hidangan warisan negeri yang terkenal dengan rasa yang kaya, seimbang dan autentik dihidangkan, menjadikannya antara sajian tradisi Perlis yang kaya dengan identiti rasa tempatan.
Melalui promosi ini, keistimewaan masakan Perlis terus dibawa melangkaui sempadan, memperkenalkan kepada pengunjung luar bagaimana hidangan tradisional negeri ini bukan sahaja enak dinikmati, malah mencerminkan warisan kulinari yang unik dan membanggakan. – JM
