Program Sentuhan Kasih Ramadan @ Bazaar Ramadan Tani FAMA Perlis kumpul 500kg makanan untuk agihan

Oleh: Sholina Osman
11 MAC 202600

Program Sentuhan Kasih Ramadan @ Bazaar Ramadan Tani anjuran Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA) Perlis berjaya mengumpul hampir 500 kilogram (kg) makanan untuk diagihkan kepada masjid dan lokaliti berdekatan.

Pengarahnya Mohd Anzara Azizan berkata sehingga kini telah masuk tahun kedua program ini diadakan dengan melibatkan Bazar Ramadan seliaan FAMA iaitu di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dan Pasar Tani Dataran ABC Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat (MAlPs).

“Selain itu, aktiviti sosial korporat FAMA di bulan Ramadan mulia ini telah menyantuni 5 buah keluarga asnaf dan 100 orang anggota keselamatan di seluruh Perlis melalui program Ziarah Kasih dan Singgah Sahur sempena Treasure Ramadan FAMA pada 27 dan 28 Februari 2026 lalu,” kata beliau dalam kenyataan media.

Terdahulu Mohd Anzara melancarkan Program Sentuhan Kasih Ramadan @ Bazaar Ramadan Tani di Dataran ABC MAIPs, petang semalam.

Beliau juga turut mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung.

PENGUNJUNG DAN PENGGUNA

Makanan dan minuman yang dikumpulkan ini adalah sumbangan pengunjung dan peniaga yang kemudian akan disalurkan ke masjid dan lokaliti berdekatan.

Mohd Anzara berkata nilai jualan Bazaar Ramadan Tani FAMA di Pasar Tani Kekal Simpang Empat dan Pasar Tani Dataran ABC MAIPs sehingga kini mencatatkan RM1.3 juta dengan 109 orang usahawan.

Selain operasi bazar Ramadan ini, kata beliau FAMA memperluaskan peluang pasaran untuk pengguna mendapatkan barangan keperluan Ramadan melalui beberapa program.

JUALAN SEMARAK RAMADAN

Beliau berkata program Jualan Semarak Ramadan di Pasar Tani Masjid Al Istiqamah Teluk Jambu mencatatkan jualan RM43,600.00 pada 15 Februari lalu.

Manakala jualan Agro Madani Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Musa, Simpang Empat dan pekarangan pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) memcatatkan jualan RM22,085.00.

Jualan Pra Ramadan menerusi platform AGROBAZAAR online pula mencatatkan jualan RM13,400.00.

Beliau berkata FAMA Negeri Perlis juga turut mengaturkan beberapa program untuk memudahkan persediaan pengguna bagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi seperti Jualan Agro MADANI di IPK Perlis dan Pejabat FAMA Negeri Perlis pada 19 Mac 2026 serta Jualan Khas
Semarak Aidilfitri di Pasar Tani Kekal Simpang Empat pada 17 Mac 2026. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *