
13 Mac 2026
Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang bukan sekadar rampasan dadah bernilai jutaan ringgit, tetapi satu langkah penting melindungi generasi masa depan negara daripada ancaman najis dadah.
Melalui operasi bersepadu yang dilaksanakan pada 3 hingga 5 Mac 2026, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor berjaya menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lima warga asing dalam empat siri serbuan di sekitar Gombak, Sepang, Subang dan Sentul.
Dalam operasi tersebut, pihak polis berjaya merampas 221.4 kilogram dadah, melibatkan:
▪️ 105.1 kg syabu
▪️ 116.3 kg bunga ganja
Jumlah rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM14.6 juta dan berpotensi dibekalkan kepada kira-kira 738,000 penagih, berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 gram setiap individu.
Selain itu, pihak polis turut menyita pelbagai aset bernilai lebih RM870,000, termasuk kenderaan, jam tangan mewah serta wang tunai dipercayai hasil kegiatan jenayah.
Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan pendekatan Smart Enforcement Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM yang sentiasa memperkukuh operasi risikan, penguatkuasaan bersepadu serta kerjasama strategik pelbagai agensi bagi mengekang jenayah dadah di negara ini.
“Polis Selangor komited mempergiatkan operasi bersepadu bagi memutuskan rangkaian pengedaran dadah dan memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik pelbagai pasukan serta sokongan masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.”
— CP Dato’ Pahlawan Shazeli bin Dato’ Kahar, Ketua Polis Selangor
Sidang Media, Mes Pegawai IPK Selangor
11 Mac 2026
KDN melalui PDRM akan terus memperhebat usaha memerangi jenayah dadah bagi memastikan negara kekal aman, selamat dan bebas daripada ancaman sindiket pengedaran dadah.
🚫 Perangi Dadah. Lindungi Generasi.
