Komponen Simpanan jadi aset strategik Tentera Darat Malaysia tangkis ancaman – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: Rejimen 504 Askar Wataniah
14 KAC 2026

Sebagai teras kepada Angkatan Masa Hadapan, Komponen Simpanan kini menjadi aset strategik Tentera Darat Malaysia dalam menangkis sebarang ancaman hibrid yang tidak menentu dan dinamika keselamatan global yang kian mencabar.

Transformasi ini melangkaui sokongan konvensional, di mana integrasi kepakaran profesional sivil —daripada pakar siber dan teknologi hingga ke sektor logistik dan perubatan— serta mobiliti pantas di peringkat akar umbi akan mampu bertindak sebagai pengganda kekuatan (force multiplier) yang kritikal bagi menjamin kedaulatan negara dalam era peperangan moden yang serba kompleks.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Negeri Perlis Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri di Kangar.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri-puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

504 ASKAR WATANIAH

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan para Pegawai rejimen berkenaan yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman serta Panglima Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim.

Tambah Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Konander Rejimen 504 Askar Wataniah, “Pembangunan keupayaan Tentera Darat Malaysia kini juga berteraskan prinsip serbaguna dan fleksibel, bagi mendepani persekitaran operasi masa hadapan yang sentiasa berubah-ubah.

ANCAMAN GREY ZONE

Strategi ini direkayasa khusus untuk menangani peperangan hibrid, ancaman grey zone, serta ledakan teknologi disruptif berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).

Keupayaan ini bukan sahaja kritikal dalam kancah konflik moden, malah menjamin ketangkasan Tentera Darat Malaysia dalam menguruskan apa-apa krisis kemanusiaan dan bencana alamyang semakin kerap berlaku secara serentak.”

Majlis berbuka puasa tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli JAKPAS, para Pegawai dan anggota Askar Wataniah, ketua-ketua jabatan, di samping menghargai sokongan berterusan terhadap peranan Angkatan Sukarela dalam memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara tercinta. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *