
13 Mac 2026
Dunia hari ini berdepan pelbagai ketidaktentuan — daripada konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan global hingga tekanan ekonomi antarabangsa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat di seluruh dunia.
Dalam situasi ini, rakyat Malaysia diingatkan agar terus mengamalkan sikap berhemah, berjimat dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global, sambil mengekalkan semangat kebersamaan dalam memastikan negara kekal stabil dan sejahtera.
Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta jabatan dan agensi di bawahnya, kestabilan negara bukan sahaja berkait dengan keselamatan fizikal, tetapi juga dengan ketahanan sosial dan kesejahteraan rakyat yang perlu dipelihara dalam apa jua keadaan.
RAKYAT PERLU BERJIMAT
Seperti yang ditegaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri:
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, rakyat perlu berhemah, berjimat dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang berada di luar kawalan kita.”
Semangat inilah yang menjadi teras kepada Malaysia MADANI — membina sebuah negara yang bukan sahaja kukuh dari segi ekonomi, tetapi juga berdaya tahan melalui sikap tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat.
KDN akan terus komited memperkukuh keselamatan negara dan kestabilan nasional, kerana negara yang aman adalah asas kepada ekonomi yang stabil dan kehidupan rakyat yang sejahtera.
Sumber: Majlis Berbuka Puasa Bersama Badan Beruniform, Dewan Serbaguna Kem Batalion 2 PGA, Kulim, Kedah | 7 Mac 2026.
