



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 MAC 2026
Kerajaan MADANI akan terus komitmen untuk melindungi kebajikan rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang dipengaruhi oleh kenaikan harga minyak dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi negeri Sabah dan Sarawak, kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan harga runcit diesel pada kadar RM2.15 seliter di stesen minyak.
“Hakikatnya, dengan lonjakan harga minyak global ketika ini, kos sebenar diesel telah mencecah sekitar RM4.30 seliter, namun rakyat di Sabah dan Sarawak hanya membayar kira-kira separuh daripada kos sebenar, manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Beliau berkata untuk tahun 2025, jumlah subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak adalah sekitar RM2.0 bilion, dan sekiranya harga minyak semasa kekal pada paras semasa, subsidi bagi tahun 2026 dianggarkan meningkat kepada sekitar RM4.6 bilion.
“Keputusan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak, terus mendapat perlindungan sewajarnya daripada tekanan kenaikan harga tenaga, di samping memastikan kestabilan kos pengangkutan dan bekalan barangan keperluan harian,” kata beliau. – JM
