






Oleh: Sholina Osman
15 MAC 2026
Ekosistem ancaman masa kini berubah lebih pantas daripada doktrin sedia ada. Kita kini berdepan perang hibrid dalam medan digital dan kognitif yang memadamkan garis antara aman dan konflik.
Justeru, pemimpin Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM) adalah aset strategik yang unik, menjadi jambatan antara dunia awam dan ketenteraan.
Mereka turut dituntut untuk menjadi pemimpin digital yang lincah, inovatif, dan mahir mengurus data demi memperkukuh pertahanan nasional melalui pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS).
MANDALA PEPERANGAN MODEN
Dalam membina mandala peperangan moden yang menuntut ketangkasan strategik dan taktikal, Rejimen Askar Wataniah bukan lagi sekadar pelengkap, mereka adalah nadi strategik yang menyatukan kekuatan tentera dengan denyut rakyat.
Transformasi ini wajib memperkasa peranan pasukan simpanan, memastikan kesiapsiagaan kita sentiasa melampaui rentak ancaman masa hadapan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Amal sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-93 anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di sekitar Seriab, dekat Kangar.
AKTIVITI MAIPs PEDULI
Program kayuhan ini disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli’ oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Turut serta, Panglima Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mejar (Kehormat) Mohd Nazim Mohd Noor.
AGIHAN ZAKAT MAIPs
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Sairus Mohd Sarif, 57 dari Kampung Titi Tok Bandar, Wan Maimunah Ngah, 52 dari Kampung Jawa Kampung Seriab, Mohd Zamri Md Nor, 51 dari Kampung Guar Syed Alwi.
Sebelum program berakhir, Baginda berkena singgah di Bazar Ramadan Kompleks DUN / Gua Sami, Kangar. – JM
