


๐ฃ๐๐ฆ๐๐ฅ ๐ฃ๐จ๐ง๐๐, ๐ญ๐ฒ ๐ ๐ฎ๐ฐโ Negeri Kelantan telah mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut 2026 bermula 27 Februari hingga 10 April bagi mengekang peningkatan risiko jenayah rentas sempadan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Pengaktifan semula operasi ini adalah seperti yang dimaklumkan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh kawalan keselamatan negara.
Operasi ini dilaksanakan oleh Maritim Malaysia bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di perairan negara yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi aktiviti jenayah rentas sempadan sepanjang tempoh perayaan.
Rekod pelaksanaan Op Khas Pagar Laut sebelum ini membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu melalui kerjasama erat antara agensi keselamatan dalam mengekang pencerobohan, penyeludupan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bagi Maritim Negeri Kelantan, sepanjang pelaksanaan operasi pada tahun 2025, pihak Maritim Negeri Kelantan telah berjaya merekodkan sebanyak empat 4 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kastam 1967. Nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan adalah dianggarkan hampir RM1.46 juta.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten (M) Kamal bin Mohamad berkata Maritim Negeri Kelantan secara khususnya akan terus memperkukuh pemantauan di perairan negeri termasuk kawasan sempadan bagi memastikan tiada unsur pencerobohan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang berlaku sepanjang tempoh operasi dilaksanakan.
Tahap kesiapsiagaan anggota dan aset turut akan dipertingkatkan melalui penugasan berterusan, rondaan berjadual serta operasi berasaskan maklumat risikan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap sebarang ancaman yang dikesan.
Tambahanya lagi, kejayaan Op Khas Pagar Laut 2026 ini amat bergantung kepada kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, sokongan komuniti maritim serta pengorbanan pegawai dan anggota yang bertugas demi memastikan keselamatan dan kedaulatan samudera negara sentiasa terpelihara.
Dalam masa yang sama, Maritim Negeri Kelantan turut menyeru masyarakat khususnya komuniti nelayan agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di laut.
