KPDN rampas 790 unit jam tangan pelbagai jenama terkenal tiruan bernilai RM790,600

Oleh: Sholina Osman
18 MAC 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 790 unit jam tangan pelbagai jenama terkenal yang disyaki tiruan bernilai RM790,600.00 dalam
serbuan di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata turut dirampas adalah pelbagai kotak dan beg kertas berjenama serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan penjualan produk tersebut.

“Bahagian Penguat Kuasa, Putrajaya telah melaksanakan satu
operasi pemeriksaan dan serbuan di bawah Akta Cap Dagangan 2019
[Akta 815] pada 13 Mac 2026 ke atas sebuah premis yang disyaki terlibat
dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan jam tangan berjenama tiruan di sekitar Kuala Lumpur,” kata beliau dalam kenyataan media.

Azman berkata serbuan dilaksanakan hasil daripada maklumat risikan yang dilaksanakan hampir sebulan.

Beliau berkata premis berkenaan dipercayai dijadikan sebagai lokasi penyimpanan dan penjualan pelbagai jam tangan berjenama yang disyaki tiruan.

“Operasi tersebut turut dijalankan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang,” kata beliau.

Jelas beliau siasatan awal mendapati kegiatan ini dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus premis.

Azman berkata suspek yang berumur 30-an ini dipercayai orang yang bertanggungjawab dalam keseluruhan operasi termasuk pengurusan premis, stok barangan dan aktiviti penjualan.

“Suspek menjalankan kegiatan penjualan dan penyimpanan jam tangan tiruan secara tertutup di dalam premis dua tingkat,” kata beliau.

Jelas beliau bahagian bawah premis digunakan sebagai bengkel pembaikan dan servis jam tangan, manakala tingkat atas dijadikan tempat penjualan dan penyimpanan jam tangan tiruan bagi mengaburi aktiviti sebenar.

“Premis dikawal rapi dengan pintu kaca berkunci yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh dari dalam serta dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Aktiviti penjualan dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu sahaja bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Azman berkata jam tangan tiruan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] kerana
disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik
yang sah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *