






Oleh: Sholina Osman
18 MAC 2026
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM3.06 juta bagi pelaksanaan Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman yang akan diagihkan melalui kariah-kariah masjid di seluruh Negeri Perlis sepanjang tahun 2026.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan bantuan tersebut yang berlangsung di Masjid Alwi, Kangar.
Turut berangkat, anakanda-anakanda Baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama ialah Mufti Negeri Perlis, Sohibus Samahah Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
USAHA BERTERUSAN MAIPs
Inisiatif Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman ini merupakan antara usaha berterusan MAIPs dalam membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan agar dapat mendiami kediaman yang lebih selamat, selesa, serta kondusif untuk kehidupan seharian.
Melalui pelaksanaan program ini, kariah-kariah masjid di seluruh negeri akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti penerima yang benar-benar layak bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun, telus dan berkesan kepada golongan sasaran.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh fungsi institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat kebajikan dan kesejahteraan ummah yang sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat setempat.
Diharapkan inisiatif ini bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah menjadi manifestasi keprihatinan MAIPs dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan, dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah. – JM
