MCMC, Telco perkukuh rangkaian sempena Hari Raya Aidilfitri 2026

Oleh: Sholina Osman
19 MAC 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi
(telco) telah mengambil langkah awal untuk memperkukuh rangkaian dan
operasi komunikasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Kenyataan media MCMC memaklumkan usaha ini dilaksanakan bagi memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan stabil, khususnya untuk membuat panggilan, menghantar mesej, menggunakan Internet, berhubung melalui
video serta mendapatkan bantuan kecemasan apabila diperlukan.

Sejak awal Mac 2026, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian
sementara telah dilaksanakan oleh telco di seluruh negara bagi menampung peningkatan penggunaan semasa musim perayaan.

KERJA PENGOPTIMUMAN RANGKAIAN

Daripada jumlah itu sebanyak 774 insistif melibatkan kerja pengoptimuman rangkaian untuk meningkatkan kualiti liputan dan kapasiti 27 inisiatif bagi pengaktifan dan modenisasi rangkaian 5G

Sebanyak 21 inisiatif pula melibatkan penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station (PBTS), Cellular on Wheel (CoW), Mobile Base Transceiver Station (MBTS) dan Mobile Communications
Vehicle (MCV) bagi menambah sokongan liputan di kawasan tumpuan.

Manakala 19 inisiatif adalah kerja naik taraf rangkaian, 14 inisiatif pula Perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN), 10 inisiatif berkaitan Pengaktifan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN)
dan 1 inisiatif tapak baharu telah diaktifkan.

LOKASI YANG DIJANGKA

Langkah-langkah ini memberi tumpuan kepada lokasi yang dijangka
mengalami peningkatan trafik komunikasi yang tinggi seperti lebuh raya utama, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, destinasi pelancongan serta kawasan tumpuan orang ramai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi memastikan tahap perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik,
semua telco telah diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara
berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan
atau penurunan kualiti perkhidmatan.

MCMC pula akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras dan
pemantau melalui pejabat-pejabat negeri, termasuk melaksanakan
pemantauan lapangan secara responsif di lokasi-lokasi kritikal dan tumpuan ramai.

UNTUK MENGHUBUNGI TELCO

Orang ramai disaran untuk menghubungi telco masing-masing sekiranya mengalami masalah rangkaian.

Aduan juga boleh disalurkan melalui saluran portal rasmi MCMC di aduan.mcmc.gov.my supaya tindakan susulan dapat diambil dengan lebih cepat dan berkesan.

MCMC kekal komited memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan
komunikasi yang lancar dan selamat, khususnya pada waktu-waktu penting seperti Hari Raya Aidilfitri ketika pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *