




Oleh: Sholina Osman
20 MAC 2026
Rakyat dinasihatkan supaya sentiasa
menggunakan tenaga dan air secara cekap dan berhemah, terutama
semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, yang mana penggunaan kedua bahan utama ini kebiasaannya meningkat.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semasa musim perayaan, kadar peningkatan beban penggunaan tenaga elektrik bagi pengguna kediaman (residential) lazimnya adalah dianggarkan sekitar 20 peratus hingga 40 peratus berbanding kadar penggunaan biasa.
Beliau berkata langkah mudah penjimatan elektrik yang boleh diamalkan termasuk mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan; elakkan peralatan berada dalam mod sedia (standby);
tetapkan suhu penyaman udara sekitar 24 hingga 26 darjah celcius;
dan guna peralatan elektrik yang mempunyai penarafankecekapan tenaga 4 atau 5 bintang.
“Bagi kadar penggunaan air pula, peningkatan penggunaan di antara 30 peratus hingga 35 peratus adalah dijangka di kebanyakan negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang berhari raya,” kata Fadillah dalam kenyataan media.
OPERATOR BEKALAN AIR
Beliau berkata peningkatan penggunaan telah pun dijangka dan pihak operator bekalan air telah bersiap siaga bagi memastikan permintaan dapat dipenuhi sebaiknya.
Justeru, kata beliau Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut memastikan operator bersedia
sedia dengan pelan kontigensi sekiranya timbul sebarang insiden luarjangka di sepanjang musim perayaan.
“Berdasarkan sasaran semasa, PETRA melalui SPAN menyasarkan kadar penggunaan per kapita setiap hari pada maksimum 160 liter yang sejajar dengan sasaran di peringkat antarabangsa,” kata beliau.
Jelas beliau ia merupakan sasaran
yang boleh dicapai sekiranya pengguna memilih untuk menggunakan air secara berhemat antaranya melalui pelbagai kaedah.
KEBOCORAN PAIP DALAMAN
Fadillah berkata antaranya pelbagai segera sebarang kebocoran paip dalaman; beralin kepada sumber air alternatif seperti tadahan air hujan untuk aktiviti bukan teras seperti menyiram pokok, mencuci laman atau
membasuh kenderaan.
“Disiplin kendiri dalam penggunaan air iaitu gunakan pada kadar yang
sewajarnya sahaja; membasuh pakaian hanya apabila muatan penuh; pastikan pili ditutup rapat setelah digunakan; guna semula air tidak tercemar seperti air basuhan wudhu untuk tujuan lain seperti mencuci lantai atau menyiram pokok.
Selain itu kata beliau beralih kepada produk yang mempunyai label Cekap Air dengan dua atau tiga bintang.
“Penggunaan produk air secara konsisten dapat menjimatkan sehingga purata 50 peratus daripada bil bulanan pengguna,” kata Fadillah.
AMALAN-AMALAN KECIL
Beliau menjelaskan amalan-amalan kecil kecekapan tenaga dan air ini bukan sahaja membantu menjimatkan bil pengguna, malah menyumbang kepada penggunaan tenaga dan air yang lebih cekap dan mampan secara keseluruhan.
Selain itu, PETRA juga ingin menyeru orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan elektrik dengan mengamalkan langkah-langkah keselamatan iaitu pastikan pendawaian elektrik di rumah selamat dengan cara menguji Peranti Arus Baki (PAB) dengan menekan butang uji ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta.
Namun, sekiranya ia tidak berfungsi dan perlu diganti, sila dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).
ELAK BEBANKAN SOKET
Sila pastikan wayar kelengkapan elektrik tidak koyak atau terdedah
sebelum digunakan; elak bebankan soket dengan menggunakan kelengkapan elektrik yang
berlebihan atau dengan beban yang tinggi.
Selain itu guna kelengkapan elektrik dan lampu hiasan dengan label
keselamatan ST-SIRIM; tangan dalam keadaan kering semasa menggunakan kelengkapan
elektrik; suis dan kelengkapan elektrik yang tidak digunakan di rumah
dimatikan sekiranya anda pulang kampung atau bercuti.
Elak menggantung perhiasan perayaan pada tiang elektrik dan
usah menggunakan telefon bimbit semasa sedang dicas. – JM
