
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
20 MAC 2026
Malaysia berpendirian tegas dan konsisten dalam mengutuk pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan ndia bersepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat.
“Kami turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau berkata kerjasama padu ini menjadi semakin mendesak tatkala dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam, termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.
MEMPERKUKUH ILTIZAM BERSAMA
“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” kata Anwar.
Terdahulu beliau berhubung dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada lewat petang semalam.
Anwar menghargai ucapan Modi kepada keluarga dan rakyat Malaysia bersempena sambutan Eidulfitri Mubarak yang bakal tiba.
“Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan,” kata Anwar. – JM
