Bekalan petrol, diesel, LPG di Malaysia cukup, lebih stabil berbanding negara lain- Armizan

Oleh: Sholina Osman
24 MAC 2026

Bekalan bahan api petrol, diesel dan LPG di negara ini mencukupi malah lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan sehingga kini tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel & LPG di dalam negara.

“Perkara yang timbul dan diuar-uarkan adalah isu terpencil berhubung logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan,” kata beliau dalam hantaran di FB.

PEMANTAUAN BERTERUSAN DILAKSANAKAN

Armizan berkata perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar.

Sehubungan itu, kata beliau orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah terjamin.

“Dalam masa yang sama, saya ingin mengingatkan bahawa sebarang penjualan dan pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 khususnya peruntukan-peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021,” kata beliau.

TIDAK AKAN BERKOMPROMI

KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada platform aduan KPDN sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan. Pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa.

Terdahulu Armizan mengadakan Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Hajiji Noor di Menara Kinabalu, hari ini.

Dalam pertemuan ini, beliauntelah memberikan taklimat hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang telah diaktifkan sebagai langkah memperkukuh agenda penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api khususnya di kawasan sempadan termasuk di negeri Sabah.

KETIRISAN SEMAKIN MENINGKAT

Beliau berkata risiko ketirisan semakin meningkat berikutan konflik Asia Barat dan jurang harga yang tinggi antara harga bahan api bersubsidi di dalam negara dengan harga pasaran dan harga runcit di negara-negara jiran.

“Saya juga menjelaskan berhubung beberapa khabar angin berkaitan dakwaan berlakunya ketidakcukupan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di Sabah baru-baru ini yang juga dikaitkan dengan senario yang berlaku di negara-negara jiran yang mengalami isu gangguan bekalan,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *