KGP Perlis buat julung kali anjur ‘Piala Harumanis Perlis’

Oleh: Sholina Osman
Foto: Istana Arau
25 MAC 2026

Kelab Golf Putra (KGP) Perlis akan menganjurkan ‘Piala Harumanis Perlis’ buat julung kalinya pada Ahad, 3 Mei 2026 di Sungai Batu Pahat, Perlis.

Kejohanan ini akan mendapat kerjasama padu daripada rakan strategik KGP Perlis, iaitu Jabatan Pertanian Negeri Perlis dan Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Kapten KGP Perlis, Idris Tan Sri Sheikh Ahmad kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Majlis Santapan Tengahari dan Penyampaian Hadiah bersempena pertandingan golf merebut Piala Syed Sirajuddin Areeb Putra di rumah kelab berkenaan pada petang semalam.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan anakanda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

SEJAK TIGA DEKAD

Kejohanan yang dianjurkan pada hari raya ketiga saban tahun sejak tiga dekad yang lalu lagi antara Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) melawan KGP Perlis tersebut adalah atas cetusan idea dan inisiatif Tuanku Raja Muda Perlis sendiri ketika Baginda masih berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS) di ibunegara dan merupakan Ahli Jawatankuasa PPKL bagi potfolio Belia dan Sukan. Ia berlangsung sehinggalah ke hari ini dan tidak berlangsung hanya pada waktu Covid-19 melanda dunia.

Kelab Golf Putra Perlis dengan 442 mata berjaya mengalahkan PPKL yang mendapat 439 mata pada edisi kali ini. 50 orang peserta mengambil bahagian mewakili kedua-dua buah pasukan.

Pemain-pemain terbaik bagi KGP Perlis kali ini ialah Roshamizan Yaakob, Nazmi Sabu, Fahimi Musa dan Wan Mohd Zaki, masing-masing mendapat 38 mata.

Manakala bagi PPKL pula, Rahizam Ramli dan Abdul Latif Jamil dengan 38 mata, dan Airil Rizman, Anis Sofea Hamlussalam dan Mahizan Shuib kesemuanya mendapat 37 mata.

MENJADI TUAN RUMAH

Sementara itu, Yang DiPertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman dalam ucapan balas beliau berkongsi bahawa pada tahun ini, PPKL berbesar hati menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara ‘Golf Raya’ ini.

Kehadiran semua peserta tidak hanya memeriahkan acara ini, tetapi juga menunjukkan semangat persaingan sihat, ketekunan, dan dedikasi dalam sukan golf.

Tanpa penglibatan aktif semua peserta, majlis ini tidak akan lengkap dan meriah seperti yang disaksikan.

Md Silmi juga memaklumkan bahawa PPKL merancang beberapa program pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar serta komuniti Negeri Perlis. Sebagai contoh, sebanyak 9 unit Chromebook bernilai RM 20,000, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis telah disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan Oran bagi menyokong pembelajaran digital pelajar di sekolah tersebut dan seterusnya membantu Sekolah Kebangsaan Oran memasuki Pertandingan Google Reference School dalam pencalonan 5 Kategori Sekolah Terbaik Dunia 2026.

Tambah beliau, pada tahun ini juga, PPKL merancang untuk menganjurkan Perlis International Talk bertempat di Perlis sendiri pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *