






Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
25 MAC 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan bagi menyantuni mangsa kebakaran di Taman Kemajuan, Kangar, awal pagi tadi.
Tuanku Raja Muda juga menyampaikan titah salam takziah daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Lawatan tersebut yang berlangsung pada hari kelima sambutan Aidilfitri (5 Syawal 1447H) memperlihatkan keprihatinan tinggi pihak istana terhadap kebajikan rakyat yang ditimpa musibah.
MENYAMPAIKAN SUMBANGAN
AWAL
Dalam kunjungan pada jam 12.45 pagi tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan awal daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga daripada lima keluarga yang terlibat dalam insiden kebakaran berkenaan.
Dua lagi keluarga tiada di situ kerana berada di luar kawasan.
Sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan bebanan segera yang dihadapi oleh mangsa dalam menguruskan keperluan asas pasca-kejadian.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menasihatkan masyarakat agar sentiasa mempersiapkan diri menghadapi situasi sukar seumpama itu dengan mempertingkatkan tahap keselamatan perkakasan serta sistem pendawaian elektrik di kediaman masing-masing.
DALAM KEADAAN TERKAWAL
Titah Baginda lagi, orang ramai perlu memastikan peralatan dan bahan api yang mudah merebak sentiasa berada dalam keadaan terkawal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berulang.
Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi sama Tuanku Raja Muda menasihatkan kepentingan memiliki perlindungan takaful kebakaran yang kini mudah diperolehi di pasaran.
Beliau menyifatkan skim perlindungan tersebut sebagai langkah bijak yang sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kewangan mangsa sekiranya berlaku bencana luar jangka.
Lawatan tersebut berakhir dengan Baginda menyantuni setiap mangsa bagi memberikan sokongan moral sebelum berangkat meninggalkan lokasi kejadian. – JM
