Raja Perlis tunaikan Solat Al-Istisqa’ di Dataran Istiadat, Istana Arau

Oleh: Sholina Osman
26 MAC 2026

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan Solat Al-Istisqa’ di Dataran Istiadat, Istana Arau, pagi ini bermula jam 8.

Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Solat sunat bagi memohon hujan tersebut disertai hampir 1,000 jemaah yang terdiri daripada para pemimpin dan rakyat negeri Perlis.

Solat berkenaan telah diimam dan disampaikan kutbah oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

MEMOHON RAHMAT HUJAN

Pelaksanaan Solat Al-Istisqa’ ini merupakan satu ikhtiar memohon rahmat hujan daripada Allah SWT susulan keadaan kemarau dan cuaca panas yang sedang melanda ketika ini.

Selain sebagai usaha memohon hujan, Solat Al-Istisqa’ juga membawa mesej yang lebih mendalam sebagai satu seruan kepada seluruh umat Islam untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki amalan, serta bermuhasabah diri.

Ia mengingatkan bahawa setiap nikmat, termasuk turunnya hujan, adalah di bawah kekuasaan-Nya.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Doa Al-Istisqa’ turut akan dilaksanakan di masjid-masjid seluruh negeri Perlis ketika Khutbah Jumaat, berdasarkan teks khutbah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

PADA 27 MAC

Pelaksanaan ini akan bermula pada 27 Mac 2026 dan akan diteruskan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Sehubungan itu, seluruh umat Perlis diseru untuk bersama-sama memperbanyakkan doa, memperbaiki diri, serta memohon keampunan agar negeri ini dikurniakan rahmat hujan dan dijauhkan daripada segala musibah.

Dalam masa sama, umat Islam di negeri ini juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa agar diturunkan hujan pada sepanjang musim kemarau panjang dan kekurangan air yang sedang melanda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *