

MIRI, 25 Mac – Usaha pemulihan di Niah National Park sedang giat dilaksanakan selepas taman negara berstatus UNESCO itu terjejas akibat banjir luar biasa pada 2025.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen P.219 Miri, Chiew Choon Man berkata, banjir yang berlaku dua kali dalam tempoh setahun menyebabkan sebahagian besar kawasan taman negara berkenaan terpaksa ditutup sementara bagi tujuan penyelenggaraan dan pemulihan.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan ketika lawatan kerja beliau ke Sarawak Forestry Corporation Kuching untuk meninjau usaha pemuliharaan serta keadaan semasa di taman negara tersebut.
“Banjir pada tahun lalu adalah antara yang paling teruk pernah direkodkan sejak 1963, sekali gus menjejaskan laluan utama pengunjung di kawasan gua,” katanya selepas sesi libat urus bersama Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran.
Beliau berkata, kerja pemulihan kini memberi tumpuan kepada pembinaan semula serta pengalihan laluan utama sepanjang kira-kira 600 meter dari Traders’ Cave menuju ke Great Cave.
Apabila laluan itu siap kelak, pengunjung akan dapat kembali melawat dua tarikan utama taman negara berkenaan iaitu Great Cave dan Painters Cave.
Menurutnya, pihak SFC memaklumkan laluan tersebut dijangka dapat dipulihkan dalam tempoh enam bulan bergantung kepada keadaan cuaca yang mengizinkan.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Pelancongan,Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta tahun lalu bagi kerja penyelenggaraan di taman negara tersebut sebagai sebahagian daripada dana untuk tapak warisan dunia di negara ini.
Selain itu, MOTAC turut menyediakan RM395,000 bagi menaik taraf bekalan elektrik serta kerja penyelenggaraan di Niah Archaeology Museum dan beberapa kemudahan lain di kawasan berkenaan.
Beliau juga berkata sebagai tapak warisan dunia yang diiktiraf antarabangsa, Taman Negara Niah memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan khususnya di utara Sarawak.
Beliau Turut menegaskan bahawa sokongan akan terus diberikan dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan taman negara ini serta memantau perkembangan kerja pemulihan supaya ia dapat kembali dikunjungi pelawat dan masyarakat setempat.
Dalam lawatan tersebut, SFC turut memperkenalkan pembangunan aplikasi mudah alih baharu yang menggunakan teknologi pengecaman imej untuk mengenal pasti spesies flora dan fauna serta memberikan maklumat terperinci kepada pengguna.
Beliau berkata aplikasi itu berpotensi menjadi alat berguna kepada pelancong dan pemandu pelancong dalam memahami kekayaan biodiversiti Sarawak.
Catherine
