Kelayakan BUDI95 diselaras daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter – PMX

Oleh: Sholina Osman
26 MAC 2026

Kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada
200 liter sebulan bermula 1 April 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini
tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu.

“Maka untuk meringankan
beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter,” kata beliau semasa berucap pada Perutusan Khas.

Anwar berkata kerajaan akan kekalkan had siling sehingga 800 liter bagi e-hailing dan pekerja gig setelah
mengambil kira tanggungjawab mereka, pekerjaan mereka, dan urusan yang mereka harus lakukan.

MENIKMATI DIESEL SUBSIDI

“Sabah dan Sarawak akan terus menikmati Diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, walaupun harga diesel telah melambung naik,” kata beliau.

“Maknanya, bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada
dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi, penguatkuasaan yang lebih berkesan,” jelas beliau.

Beliau menjelaskan kerajaan juga akan mula menghadkan pengisian untuk ketika ini bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum 50 liter
setiap pembelian

“Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebih 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian; kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian,” kata beliau.

AGAR BEKALAN ADA

Anwar berkata ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.

Jelas beliau tanpa penyesuaian ini, kerajaan bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini.

“Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai.
Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan,” terang beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *