MyPOWER laksana menyeluruh program tenaga nuklear negara – Fadillah

Oleh: Sholina Osman
27 MAC 2026

MyPOWER sedang melaksanakan penilaian menyeluruh merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penilaian pembangunan projek dan penyertaan industri tempatan,
di samping memperkukuh penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keutamaan
Kerajaan pada masa ini adalah memastikan sebarang pertimbangan berkaitan pembangunan tenaga nuklear pada masa hadapan dilaksanakan secara teliti, berasaskan analisis teknikal yang komprehensif serta selaras dengan keutamaan pembangunan negara dan obligasi antarabangsa Malaysia.

Jelas beliau pendekatan ini juga sejajar denganaspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan perancangan jangka panjang negara berasaskan ilmu, kemampanan sumber serta kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan.

POTENSI TENAGA NUKLEAR

Fadillah berkata penerokaan potensi tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik negara adalah satu langkah strategik bagi memastikan keterjaminan tenaga jangka panjang di samping menyokong aspirasi peralihan tenaga bersih negara.

“Inisiatif ini turut digariskan dalam
Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dibentangkan oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai 2025,” kata beliau dalam kenyataan media.

Ketegangan di Asia Barat, termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz, telah memberikan kesan negatif kepada pasaran dan perbekalan tenaga global.

PENJANAAN BEBAN ASAS

Dalam konteks ini, tenaga nuklear dilihat berupaya menyediakan
penjanaan beban asas (base-load) yang stabil dan rendah karbon, sekali
gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Beberapa negara ASEAN turut menilai semula peranan tenaga nuklear
sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian sumber tenaga.

Filipina menyasarkan pembangunan tenaga nuklear berkapasiti sehingga
4,800 Megawatt menjelang 2050, manakala Vietnam telah memasukkan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga negara.

Indonesia juga sedang meneroka potensi penggunaan reaktor modular
kecil (SMR) termasuk reaktor terapung sebagai penyelesaian tenaga bersih yang fleksibel untuk negara kepulauan, dengan sasaran menjelang 2030. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *