





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
28 MAC 2026
Laksanakan usaha mendidik dan menyedarkan generasi muda hari ini tentang kepentingan adat dan nilai budaya Melayu, bukan sahaja sebagai warisan nenek moyang, tetapi sebagai wadah yang menyatukan umat dan mendukung kestabilan negara.
Sesungguhnya tanggungjawab menjaga dan memartabatkan adat istiadat bukanlah semata-mata terletak pada golongan tertentu, tetapi menjadi amanah bersama yang perlu dipikul oleh semua pihak termasuklah institusi pendidikan, jabatan kerajaan, agensi pelaksana, pertubuhan bukan kerajaan, serta masyarakat awam.
Semua pihak hendaklah sama-sama membantu mencari jalan untuk memperkukuh kedudukan adat istiadat, memperindah hubungan dengan agama Islam, serta memperkasa peranan institusi Raja dalam sistem pemerintahan negeri.
MEMBINA NARATIF BAHARU
Dengan cara ini akan mampu membina naratif baharu tentang bagaimana adat dan agama boleh berfungsi bersama-sama dalam menyokong kemajuan negeri Perlis secara menyeluruh, dari segi rohani, budaya serta pentadbiran.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs untuk tujuan aktiviti pengimarahan kepada Masjid Al-Furqan dan Masjid Al-Hasanah di Pekan Siam Padang Besar, Thailand baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
PROGRAM MAIPs PEDULI
Sumbangan ini diadakan bersempena program MAIPs Peduli, anjuran MAIPs, di sekitar kawasan Pekan Siam tersebut.
Turut hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Masjid Al-Furqan diwakili oleh Imam Walid Bensa-I, manakala Masjid Al-Hasanah diwakili oleh Imam Haji Muhammadrusydi Harun.
Baginda berdua turut melapangkan masa melawat Pasar Malam di tengah-tengah pekan itu. – JM
