






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
29 MAC 2026
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah institusi agama yang berwibawa serta komited dalam melaksanakan mandat pengurusan zakat, pembangunan dan kebajikan sosial Ummah.
Segala bentuk usaha serta sumbangsaran konstruktif yang telah digembleng oleh semua amatlah dihargai.
Peningkatan dalam hasil kutipan zakat MAIPs melalui kepelbagaian pendekatan dan perluasan rangkaian kerjasama juga telah memberi impak yang begitu ketara.
DILIHAT SEMAKIN BERFOKUS
Penyaluran bantuan kepada asnaf pula, dilihat semakin berfokus, tersusun, serta pantas, selari dengan aspirasi MAIPs itu sendiri iaitu bagi memastikan tiada lagi mana-mana asnaf yang tercicir atau ‘terlepas pandang’ di negeri ini.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sempena Program Hijrah Minda MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Ikram Kampung Sena Kurung Anai, Arau baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
TIDAK MUNGKIN DICAPAI
Tuanku Raja Muda turut menegaskan bahawa pencapaian sehingga hari ini tidak mungkin dicapai tanpa kesepaduan oleh semua pihak dan momentum yang telah dibina hendaklah sentiasa diperkukuhkan.
Program Hijrah Minda merupakan antara inisiatif utama MAIPs yang bertujuan untuk mentransformasikan pemikiran serta memperkasa sosioekonomi masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan asnaf di negeri Perlis.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berjumlah RM120,000 kepada Teratak Rahmat dan Persatuan Al-Islah Negeri Perlis, serta Agihan Zakat MAIPs sebanyak RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih yang terdiri daripada anak kariah Kampung Sena itu sendiri. – JM
