

Wartawan JM
26 MAC 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan Lawatan Khas ke Jakarta, Republik Indonesia pada 27 Mac 2026 atas jemputan Presiden Republik Indonesia Prabowo Subianto.
Kenyataan media Kementerian Luar yang dikenali Wisma Putra memaklumkan lawatan ini bertujuan untuk membincangkan perkembangan geopolitik semasa yang semakin meruncing, khususnya konflik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada kestabilan serantau serta ekonomi global, termasuk implikasinya kepada Malaysia dan Indonesia.
Perkembangan terbaru ini menuntut perbincangan yang menyeluruh, rapi dan bersepadu antara kedua-dua negara dalam menyelaras pendirian serta memperkukuh kerjasama strategik bagi mendepani situasi ini.
Dalam konteks tersebut, kedua-dua pemimpin dijangka akan mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan serta memastikan kelangsungan laluan perdagangan dan rantaian bekalan global
yang kritikal kepada kesejahteraan rakyat.
Pertemuan ini juga akan menegaskan kepentingan memperkukuh peranan ASEAN sebagai satu blok yang bersatu dan berprinsip, agar rantau ini berupaya bertindak secara kolektif dalam memelihara keamanan, kestabilan serantau serta menjamin daya tahan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global. – JM
