RUMAH PANJANG KANYAN BERPOTENSI JADI PEMACU PELANCONGAN LESTARI DAN EKONOMI KOMUNITI

PAKAN, 28 MAC – Rumah Panjang Kanyan di Pakan berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi secara lestari.

ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pembangunan ekonomi mampan melalui sektor pelancongan perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan pemeliharaan budaya dan warisan, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, kejayaan program inap desa di Rumah Sibar, Lubok Lemba, Ulu Sarikei membuktikan pelancongan komuniti mampu menjana pendapatan secara mampan.

“Keunikan adat resam, gaya hidup dan rumah panjang boleh menjadi tarikan pelancong untuk merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Panjang Kanyan, Nyalak Ladong, Pakan.

Sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi pembinaan jalan ke jeti sebagai pemangkin ekonomi baharu, khususnya dalam memperkukuh sektor pelancongan komuniti.

Selain itu, penambahbaikan dewan Biro Wanita turut dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk, termasuk sistem pengudaraan dan penyediaan pili bomba.

Penduduk juga digalakkan memanfaatkan tanah sedia ada untuk pertanian seperti kelapa sawit dan getah bagi menjamin pendapatan berterusan.

Deen

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *