
KUCHING, 29 MAC – Susulan cuaca panas dan kering yang melanda Sarawak, operasi “water bombing” akan dilaksanakan bermula hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu tertumpu kepada kebakaran di kawasan tanah gambut yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.
Antara lokasi terjejas termasuk Kemuyang di Sibu dan Penasu di Mukah.
“Pada pagi ini, pihak bomba akan menghantar helikopter untuk melaksanakan ‘water bombing’ di Penasu. Sebab itu kita minta ia turut ke Sibu kerana kawasan-kawasan ini melibatkan kebakaran tanah gambut. Tanah gambut sangat mencabar apabila terbakar kerana walaupun kelihatan hanya asap, api sebenarnya boleh merebak ke kawasan yang lebih luas.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kuching, hari ini.
Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi berkaitan akan menggunakan dron bagi memantau kawasan berisiko, khususnya di Mukah dan sekitar Kuala Baram di Miri.
Langkah itu bertujuan mengesan tanda awal seperti asap agar tindakan pemadaman dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Mengulas kemungkinan pembenihan awan, beliau berkata ia hanya akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir dan bergantung kepada keadaan cuaca.
Debbie Amanda
