






Oleh: Sholina Osman
30 MAC 2026
Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis ekoran penahanan empat lelaki dan seorang perempuan dengan rampasan dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta di Wang Kelian, Kaki Bukit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek yang berusia 23 hingga 37 tahun itu merupakan anak tempatan Wang Kelian dipercayai aktif dalam sindiket ini sejak Ogos 2025.
“Kumpulan ini menggunakan laluan haram di kawasan hutan Wang Kelian yang bersebelahan sempadan Thailand bagi melakukan kerja penyeludupan dadah,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.
TIGA SIRI SERBUAN
Hussein berkata kesemua suspek ini berjaya ditahan setelah Jabatan Narkotik IPK Perlis melancarkan tiga siri serbuan antara 24 hingga 28 Mac lalu.
“Serbuan pertama dijalankan di sekitar jalan utama Wang Kelian, Kaki Bukit di mana telah menahan dua buah kereta yang dinaiki oleh dua lelaki dan seorang perempuan tempatan,” kata beliau.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta berkenaan, terdapat 20 guni yang mengandungi plastik berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.
SEBERAT 510 KILOGRAM
“Kesemua anggaran dadah itu yang seberat 510 kilogram telah dirampas,” kata Hussein.
Jelas beliau kesemua rampasan dadah bernilai RM25.5 juta itu boleh merosakkan 2.55 juta penggunanya.
Jelas beliau susulan tangkapan pertama, sekali lagi serbuan dilakukan pada 27 dan 28 Mac yang dijalankan di sekitar kawasan Wang Kelian.
Beliau berkata, ia membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan.
SUSPEK LELAKI POSITIF
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati keempat suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek perempuan negatif,” kata Hussein.
Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Hussein berkata suspek pertama dan kedua telah direman selama tujuh hari dari 25 hingga 31 Mac 2026 dan suspek ketiga direman enam hari dari 25 hingga 30 Mac 2026.
Beliau berkata suspek keempat dan kelima pula direman antara lima hingga tujuh hari di mana akan tamat tempoh reman pada 4 April 2026.

”Kesemua suspek ini mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu pertama (tiga kes), kedua (11 kes), ketiga (dua kes), keempat (tiga kes) dan kelima (empat kes),” kata beliau. – JM
