

Oleh: Sholina Osman
31 MAC 2026
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) mengambil maklum berhubung hantaran di platform TikTok oleh seorang pengguna bernama Nurul Afzan yang melibatkan dakwaan terhadap pegawai masjid di salah satu buah masjid di negeri Perlis.
Kenyataan rasmi JAIPs hari ini memaklumkan bahawa siasatan telah dilaksanakan melalui pihak Ahli Jawatankuasa (AJK ) Masjid berkenaan termasuk semakan
rakaman CCTV dan keterangan pihak terlibat.
Hasil penelitian mendapati kejadian berpunca daripada kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak dibenarkan sehingga menghalang laluan.
Dalam usaha mencari pemilik kenderaan, pegawai masjid telah membuat pencarian di kawasan jemaah lelaki dan sekitar masjid, namun tidak berjaya menemui pemiliknya.
KAWASAN PERSALINAN WANITA
Beliau kemudiannya pergi ke kawasan persalinan wanita dan mengetuk pintu terlebih dahulu.
Namun, tiada sebarang maklum balas diterima sebelum beliau membuka sedikit pintu bagi tujuan mengenal pasti pemilik kenderaan tersebut.
Pegawai masjid berkenaan mengakui tindakan tersebut sebagai satu kesilapan dan telah pun memohon maaf kepada pihak terlibat.
Beliau juga memaklumkan bahawa tiada aurat mana-mana individu dilihat ketika kejadian berlaku.
Pihak JAIPs memandang serius perkara ini dan telah menasihati semua petugas masjid agar sentiasa mematuhi garis panduan serta menjaga adab, khususnya melibatkan ruang jemaah wanita.
MEMATUHI PERATURAN MASJID
Dalam masa yang sama, semua jemaah diingatkan agar mematuhi peraturan masjid termasuk meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan.
Pihak masjid tetap mengalu-alukan kehadiran jemaah dari dalam kariah dan di luar kariah untuk mengunjungi masjid ini supaya dapat beribadat dengan selesa.
Semoga kita semua dapat memelihara kesucian rumah Allah dengan penuh adab, tanggungjawab dan saling bermaafan. – JM
