




Oleh: Sholina Osman
31 MAC 2026
Pelancaran aplikasi MCMC NEXUS oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini menandakan satu langkah transformasi penting dalam memperkasa rakyat dan industri melalui pendigitalan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa MCMC NEXUS merupakan platform yang memperkasakan rakyat untuk memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kualiti rangkaian negara.
Melalui aplikasi ini, orang ramai boleh memuat turun aplikasi, menguji kelajuan Internet serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi masing-masing, tanpa melibatkan pengumpulan
maklumat peribadi pengguna.
DIUJI SECARA RASMI
Aplikasi MCMC NEXUS telah diuji secara rasmi oleh sebuah makmal ujian dan pensijilan bebas yang diakreditasi ISO/IEC 17025, dengan pensijilan rasmi dijangka tersedia dalam masa yang terdekat.
Walau bagaimanapun, aplikasi ini tidak mengumpul maklumat peribadi pengguna.
Semua data yang direkodkan adalah anonim dan hanya melibatkan prestasi rangkaian, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Data ini akan membantu MCMC untuk
menganalisis prestasi rangkaian, mengenal pasti kesesakan dan kawasan liputan lemah atau isu kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat, sekali gus membolehkan
penambahbaikan dilaksanakan secara lebih bersasar.
YANG LEBIH CEKAP
Pendekatan ini menyokong pembangunan infrastruktur komunikasi yang lebih cekap,
meningkatkan kualiti Internet termasuk di kawasan luar bandar serta merapatkan jurang digital, selaras dengan aspirasi ekonomi digital negara yang inklusif, berdaya
tahan dan mampan.
MCMC turut menjalin kerjasama strategik dengan rakan industri antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), FGV Prodata Systems Sdn. Bhd. (FELDA), SPX Express Sdn. Bhd. (SPX Express), Prasarana Integrated Development Sdn. Bhd.
(PRIDE), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), ZUSPRESSO Sdn. Bhd. (ZUS Coffee), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Fintech Association of Malaysia, Favoriot Sdn. Bhd. (Favoriot), Ninja Logistics Sdn. Bhd. (Ninja Van), Forum
Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Malaysian Technical
Standards Forum Berhad (MTSFB) serta semua penyedia perkhidmatan.
MEMPROMOSI PENGGUNAAN APLIKASI
Kerjasama ini bertujuan mempromosikan penggunaan aplikasi, memperluas capaian
pengguna serta menyumbang kepada pengumpulan data bagi mencerminkan prestasi rangkaian sebenar di seluruh negara.
Orang ramai digalakkan untuk memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery. – JM
