



Oleh: Sholina Osman
31 MAC 2026
Sebanyak 51,415 jumlah muat turun aplikasi MCMC NEXUS telah direkodkan sejak Februari 2025 sekalipun ia baharu diperkenalkan secara berperingkat.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sebanyak 168 juta titik data (data points) kualiti rangkaian di seluruh negara telah berjaya dikumpul.
“Ini menunjukkan ia telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Malaysia,” kata beliau semasa berucap pada majlis pelancaran MCMC NEXUS di Auditorium MCMC Cyberjaya hari ini.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
KAWASAN LIPUTAN LEMAH
Beliau berkata maklumat dari MCMC NEXUS ini dapat membantu mengenal pasti kawasan liputan lemah atau isu kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat.
Jelas Nie Ching data yang terkumpul akan digunakan untuk penambahbaikan kualiti dan liputan projek akan datang.
“Keberkesanan sistem juga telah pun terbukti melalui pengoperasian Pusat Pemantauan Rangkaian MCMC
NEXUS (MCMC NEXUS Network Monitoring Center) yang memainkan peranan kritikal dalam memantau kestabilan rangkaian semasa penganjuran acara-acara besar negara sepanjang tahun 2025, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025), Sidang Kemuncak ASEAN (ASEAN Summit), serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” tambah beliau.
MEMASTIKAN KELANCARAN KOMUNIKASI
Beliau berkata ini bagi memastikan
kelancaran komunikasi dan penyampaian maklumat, sekali gus mencerminkan kesediaan infrastruktur digital Malaysia
di mata dunia.
”Lebih daripada sekadar aplikasi, MCMC NEXUS merupakan
pemacu penting masa depan digital Malaysia di mana ia menyokong
pembangunan bandar pintar dan penyampaian Internet berkualiti tinggi,” kata beliau.
Nie Ching berkata ia memainkan peranan strategik dalam
merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau.
Jelas beliau pada masa yang sama, platform ini memperkasa
perniagaan, memperluas akses pendidikan digital dan memupuk inovasi merentas sektor, sekali gus memperkukuh komitmen negara terhadap ekonomi digital yang inklusif,
berdaya tahan dan mampan.
BERASASKAN DATA INI
Malah kata beliau dengan pendekatan berasaskan data ini membolehkan usaha penambahbaikan dilaksanakan secara lebih fokus dan berkesan.
Pada masa yang sama, kata beliau ia membantu memastikan komitmen liputan serta mutu perkhidmatan yang dijanjikan oleh penyedia rangkaian dapat dipantau dengan lebih telus.
Dalam erti kata lain, tambah Nie Ching masyarakat bukan sekadar pengguna perkhidmatan, tetapi turut memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh
kesalinghubungan digital negara. – JM
