



CYBERJAYA, 2 April 2026 — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) telah memulakan siasatan terhadap lima (5) individu yang disyaki telah
menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api
petrol dan diesel di platform media sosial Threads.
Tiga (3) daripada lima (5)
suspek tersebut telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu
siasatan.
Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua
suspek berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu,
mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.
Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap
penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.
Susulan itu, pihak MCMC juga telah menerima aduan daripada Buletin TV3
bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada mereka
dan dilakukan oleh pihak ketiga.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000
atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan
kesalahan.
MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial
yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat
palsu.
Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang
didapati melanggar undang-undang sedia ada.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan
platform media sosial serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi
bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan
keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.
