



Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan tiga (3) warganegara China yang menggunakan pas disyaki palsu sebagai dokumen sokongan bagi mendapatkan kemudahan visa masuk ke Amerika Syarikat.
Berdasarkan maklumat risikan dan hasil pemeriksaan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan pada 1 April 2026 pada jam 11.25 pagi telah membawa kepada penahanan satu (1) lelaki dan dua (2) wanita warganegara China kerana memiliki Pas Lawatan Sosial yang disyaki palsu. Turut disita, tiga (3) keping pasport Peopleβs Republic of China yang terdapat pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) MM2H yang disyaki palsu.
Tangkapan ini merupakan tindakan susulan selepas JIM berjaya membongkar kegiatan sindiket ini pada 8 Oktober 2025 melalui penahanan enam (6) warganegara China dan dua (2) lelaki tempatan yang disyaki sebagai ejen sindiket. Modus operandi sindiket ini adalah dengan membekalkan pelbagai pas jangka panjang JIM yang palsu dengan harga sehingga RM10,000 sekeping untuk dijadikan sokongan bagi tujuan permohonan visa untuk masuk ke negara Amerika Syarikat. Pas jangka panjang ini disyaki cuba digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dan memudahkan tapisan permohonan visa.
Kesemua subjek warganegara asing yang berumur lingkungan 25 hingga 54 tahun tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam perkembangan lain, JIM turut menahan seramai 11 warganegara China kerana disyaki telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Hasil pemeriksaan di empat (4) buah premis runcit dan restoran di sekitar Dengkil, Selangor pada 31 Mac 2026, jam 10.30 pagi telah membawa kepada penahanan lima (5) warganegara China kerana disyaki mengoperasikan restoran dan berkerja tanpa pas yang sah. Kesemua yang ditahan mengemukakan Pas Lawatan Sosial dan masuk sebagai pelancong ke negara ini.
Manakala dalam serbuan lain pada jam 5.00 petang hari yang sama di sekitar Kepong, Kuala Lumpur, enam (6) wanita warganegara China telah ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian dengan berkerja sebagai tukang urut. Kesemua wanita ini juga disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran RM100 hingga RM300 bagi setiap sesi. Turut ditahan, seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki sebagai majikan dan penjaga premis tersebut.
Kesemua subjek warganegara asing yang berumur lingkungan 28 hingga 53 tahun tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
