




Oleh: Sholina Osman
3 APRIL 2026
Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneroka lebih jauh ke peringkat antarabangsa apabila menjadi perintis memperkenalkan pengajian bahasa Melayu di Bukhara State University (BukhSU), Uzbekistan.
Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad berkata sekaligus FBK UPSI kini bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Melayu dalam pengajian akademik di universiti berkenaan.
“Bahasa Melayu belum pernah ditawarkan secara formal dalam mana-mana program akademik di universiti berkenaan,” kata beliau.
DUA AHLI AKADEMIK
Jelas beliau bagi kelancaran pelaksanaan program berkenaan, dua ahli akademik FBK UPSI Dr. Zuraini Ramli dan Profesor Madya Dr. Dahlia Janan kini dalam rangka sangkutan akademik selama enam bulan di universiti berkenaan.
“Dr. Zuraini berada di BukhSU pada awal Mac hingga akhir Mei 2026 bagi tempoh tiga bulan pertama, bagi memulakan usaha pengenalan dan pengajaran bahasa Melayu di universiti tersebut,” kata beliau.
Dalam konteks ini, kata beliau satu pertemuan rasmi diadakan antara Rektor BukhSU, Profesor Obidjon Xamidov dengan Dr. Zuraini bagi membincangkan hala tuju kerjasama akademik antara kedua-dua institusi.
MEMBUKA LEMBARAN BAHARU
Menurut Xamidov, kehadiran wakil UPSI membuka lembaran baharu dalam pengantarabangsaan universiti tersebut.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperluas jaringan antarabangsa BukhSU. Kami melihat potensi besar dalam memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar kami, khususnya dalam bidang pelancongan dan hospitaliti,” katanya.
Sementara itu, Dr. Zuraini menyifatkan peluang ini sebagai satu usaha strategik dalam memperkenalkan bahasa Melayu ke peringkat global, khususnya di rantau Asia Tengah yang semakin berkembang dalam sektor pelancongan. – JM
