

KUCHING, 6 APRIL – Persatuan Jepun Malaysia JMA tertarik meneruskan kerjasama dengan kerajaan Sarawak ke arah kemajuan projek pemulihan hijau.
Perkara itu dinyatakan semasa kunjungan hormat delegasi berkenaan terhadap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Len Talif Salleh pejabat beliau di Wisma Sumber Alam, hari ini.
Delegasi berkenaan diketuai Presidennya, Takakazu Ogawa.
Menurut Datuk Len, kunjungan itu bertujuan membincangkan kemajuan projek pemulihan hijau yang menunjukkan perkembangan signifikan, selain memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Jepun dan Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata, hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua pihak kini telah mencecah usia 30 tahun dan terus memberikan impak positif terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
Dalam pertemuan itu, delegasi turut melaporkan kejayaan program pemulihan alam sekitar yang dilaksanakan di Gunung Apeng sejak tahun 2021.
“Hasil kerjasama ini, hampir satu juta pokok berjaya ditanam dengan sokongan aktif komuniti setempat,” katanya.
Tambah beliau, Persatuan Jepun Malaysia komited untuk meneruskan inisiatif berkenaan ke fasa seterusnya dengan memanfaatkan teknologi penanaman lestari, selaras dengan agenda Ekonomi Hijau Sarawak.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pengarah JMA, Takashi Moribayashi, Fumiaki Koizumi, Iciro Egami, Penolong Pengarah JMA, Yuma Kosuga serta Penyelaras JMA Sarawak, Kazue Sakai.
DEBBIE AMANDA
