



4 April 2026
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah hadir menyantuni warga Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan SMK Clifford, Kuala Kangsar semalam.
Dalam sesi tersebut, Perdana Menteri mengupas pelbagai isu termasuk pendidikan, situasi konflik semasa serta pendirian Malaysia dalam mempertahankan prinsip keadilan sejagat. Beliau turut menekankan kepentingan sistem pendidikan yang bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik, malah membentuk peribadi unggul, berakhlak dan mempunyai sahsiah yang tinggi.
BERSIFAT SEIMBANG DAN HOLISTIK
Menurut beliau, matlamat pendidikan perlu bersifat seimbang dan holistik selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan bagi menaik taraf Dewan Hargreaves.
Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memperuntukkan RM800, 000 bagi tujuan baik pulih infrastruktur dan fasiliti sekolah serta menyerahkan satu unit bas untuk kegunaan warga MCKK manakala SMK Clifford Kuala Kangsar juga turut menerima peruntukan berjumlah RM296,000 untuk tujuan baik pulih bangunan asrama murid perempuan.
Lawatan ini dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada peranan MCKK dan SMK Clifford sebagai institusi pendidikan bersejarah yang telah melahirkan ramai tokoh dan pemimpin negara.
