


Putrajaya, 3 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan pada tahun ini dengan mengekalkan momentum kecemerlangan yang telah dicapai, khususnya melalui pemerkasaan jaringan kerjasama persefahaman bersama agensi-agensi dalam negara.
Usaha ini selaras dengan aspirasi SPRM untuk memastikan setiap bentuk kerjasama strategik yang dimeterai bukan sekadar bersifat formal, sebaliknya diterjemahkan kepada pelaksanaan aktiviti yang aktif, berimpak tinggi, relevan kepada keperluan semasa dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Kerjasama Persefahaman antara SPRM dengan Agensi Dalam Negara, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, sejak 1998, SPRM telah menunjukkan komitmen berterusan selama 27 tahun dalam memperkukuh integriti dan memerangi rasuah melalui jaringan kerjasama strategik bersama agensi-agensi dalam negara.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM berkata, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 48 agensi telah terlibat dalam pelbagai bentuk kerjasama persefahaman dengan SPRM, mencerminkan kepercayaan dan sokongan kukuh terhadap peranan institusi ini.
“Rekod tahun lalu menunjukkan sebanyak 24 kerjasama persefahaman masih berkuat kuasa dan aktif, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkasa pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah secara bersepadu dan berimpak tinggi di peringkat nasional.
“Justeru, Pengarah Bahagian dan SPRM Negeri digesa untuk memainkan peranan proaktif dalam memastikan setiap inisiatif kerjasama dilaksanakan dengan penuh komitmen dan sokongan strategik,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kerjasama Persefahaman antara SPRM dengan Agensi Dalam Negara Siri 3 Bil. 1 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.
Menurutnya, pelaksanaan yang efektif bukan sahaja akan meningkatkan keberhasilan program, malah menyumbang secara langsung kepada matlamat jangka panjang SPRM dalam membina masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah.
Dalam memperkasa pelaksanaan kerjasama, peneraju turut digalakkan untuk menterjemahkan terma rujukan dalam dokumen kerjasama secara lebih dinamik dengan mengambil kira isu-isu semasa serta memanfaatkan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Dato’ Indera Junipah berkata, penggunaan teknologi ini dilihat berpotensi meningkatkan kecekapan dalam pengumpulan data, memperluas capaian komunikasi serta memperhebatkan usaha promosi dan hebahan berkaitan pencegahan rasuah.
Inisiatif tersebut bukan sahaja berimpak di peringkat domestik, malah berpotensi untuk diketengahkan sebagai rujukan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, melalui pendekatan yang lebih bersepadu, inovatif dan berorientasikan impak ini, SPRM optimis untuk terus memperkukuh keupayaan institusi dalam mendepani cabaran semasa demi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah.
Turut hadir Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Mohd Hafaz Nazar, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP), Datuk Rasidah Abdul Karim selaku ketua sekretariat, Timbalan-Timbalan Pengarah serta pegawai kanan bahagian dan SPRM Negeri peneraju.
