



SUBANG, 6 April 26 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi memastikan bekalan air negara kekal terjamin sepanjang cuaca panas dan kering.
Hari pertama operasi yang bermula pada jam 2.40 petang memberi tumpuan di Empangan Muda, Pedu dan Ahning, sebelum diteruskan pada jam 3.25 petang di Empangan Timah Tasoh menggunakan pesawat C-130 TUDM yang membawa 6,000 liter larutan air garam.
Operasi ini dilaksanakan selama empat hari bermula 6 hingga 9 April yang dikoordinasikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Cerapan radar menunjukkan pembentukan hujan seawal jam 3.30 petang di Empangan Muda, diikuti 5.30 petang di Pedu dan Ahning serta 6.00 petang di Empangan Timah Tasoh. Pelaksanaan hari pertama menunjukkan hasil yang positif di kawasan sasaran.
OPA difokuskan di empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Johor bagi meningkatkan paras air empangan yang terjejas. Sebanyak 200 kilogram garam dilarutkan dalam 1,500 liter air bagi setiap tangki dengan penggunaan empat tangki sehari.
Pesawat C-130 Hercules diterbangkan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki sebelum larutan garam disembur ke dalam awan kumulus yang mempunyai kandungan wap air mencukupi. Larutan ini bertindak sebagai nukleus pemeluwapan yang membantu pembentukan titisan hujan dengan lebih cepat.
Sebanyak 11 empangan dikenal pasti terlibat termasuk di Perlis, Kedah, Perak dan Johor bagi memastikan bekalan air terus mencukupi sepanjang tempoh cuaca panas.
Misi OPA hari pertama diterbangkan oleh Mej Zulhilmi TUDM bersama tujuh anak kapal No. 20 Skuadron. Ini merupakan sebahagian tugas sekunder TUDM dalam membantu negara menghadapi bencana demi kesejahteraan rakyat.
Semoga operasi hari berikutnya berjalan lancar dan memberi manfaat kepada negara.
