


7 April 2026
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ingin menjelaskan bahawa kenyataan Ketua
Pengarah Pendaftaran Negara adalah berkait siasatan terhadap penyalahgunaan
empat MyKad oleh individu selain pemiliknya, selaras dengan bidang kuasa
Jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dokumen
pengenalan diri.
Dalam hal ini, JPN ingin menegaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat
menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia
dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
LEBIH BERSASAR
Inisiatif ini
merupakan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan pemberian subsidi yang
lebih bersasar, telus dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Merujuk Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,
penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu
kesalahan. JPN bertanggungjawab memastikan MyKad sebagai dokumen
pengenalan rasmi negara sentiasa terpelihara, selamat dan tidak disalahgunakan.
Dalam konteks kes yang dilaporkan, siasatan tertumpu kepada dakwaan
penyalahgunaan 4 keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan.
Kenyataan
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bukan bertujuan menyekat mana-mana
pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan Kerajaan.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar menggunakan MyKad masing-masing
dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi
sebarang urusan, termasuk berkaitan pembelian bahan api bersubsidi bagi
mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti.
JPN juga akan terus komited memastikan MyKad yang dikeluarkan berfungsi
dengan baik sebagai instrumen pengenalan diri yang sah dan diyakini, termasuk
dalam menyokong pelaksanaan inisiatif Kerajaan seperti BUDI95.
MERUJUK KEPADA SUMBER RASMI
Manakala bagi aspek penyalahgunaan subsidi, termasuk dalam pelaksanaan
BUDI95, penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi-agensi
yang berkenaan.
JPN menggesa semua pihak agar merujuk kepada sumber rasmi dan memahami
konteks sebenar sesuatu isu sebelum membuat sebarang tafsiran, agar
perbincangan awam dapat berlangsung secara lebih berhemah dan berfakta.
JPN kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan
kedaulatan dan keselamatan sistem pendaftaran negara terus terpelihara serta
diyakini oleh rakyat.
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
6 APRIL 2026
