

KUCHING, 8 April – Sebanyak 23 kenderaan mewah pelbagai jenis dan jenama di Sarawak telah disita atas pelbagai kesalahan sejak awal tahun ini hingga 5 April lalu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan tersebut dilaksanakan menerusi Ops Luxury.
Kesalahan yang dikenal pasti melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh serta ketiadaan perlindungan insurans yang sah.
Ahad lalu, Unit Operasi JPJ Kuching turut berjaya menyita sebuah kenderaan mewah jenis Ferrari di Jalan Datuk Daud atas kesalahan LKM tamat tempoh dan tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
Menurut kenyataan itu lagi, Ops Luxury akan terus dilaksanakan secara berterusan tanpa had tempoh.
Operasi ini tidak tertumpu di satu lokasi sahaja, sebaliknya dijalankan secara menyeluruh di seluruh Sarawak.
Pihak JPJ menegaskan bahawa setiap pemilik kenderaan perlu mematuhi undang-undang tanpa mengira status atau jenis kenderaan.
“Pelaksanaan operasi ini juga membuktikan bahawa tiada mana-mana pihak terkecuali daripada pematuhan undang-undang, selaras dengan prinsip bahawa undang-undang tidak mengenal darjat,” menurut kenyataan itu.
JPJ Sarawak turut menggesa semua pemilik kenderaan, khususnya kenderaan mewah, supaya sentiasa memastikan LKM diperbaharui dan perlindungan insurans adalah sah sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya demi keselamatan serta kesejahteraan semua pengguna.
Wartawan: DEBBIE AMANDA
Foto: JPJ SARAWAK
