𝟭𝟯𝟯 π—ͺ𝗔π—₯π—šπ—” π—”π—¦π—œπ—‘π—š π——π—œπ—§π—”π—›π—”π—‘ π——π—”π—Ÿπ—”π—  𝗒𝗣𝗦 π— π—˜π—šπ—” π——π—œ 𝗗𝗨𝗔 𝗣π—₯π—˜π— π—œπ—¦ π—£π—˜π—₯π—œπ—‘π——π—¨π—¦π—§π—₯π—œπ—”π—‘

BALAKONG, 8 April 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan Ops Mega di dua premis perindustrian bertempat di Balakong dan Shah Alam, Selangor yang membawa kepada penahanan 133 orang warganegara asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

Operasi bersepadu yang bermula pada jam 11.00 pagi itu disertai seramai 145 pegawai pelbagai pangkat dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi secara serentak dan memeriksa seramai 162 individu. Hasil pemeriksaan, seramai 133 warganegara asing berusia antara 20 hingga 45 tahun telah ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Nepal, Indonesia, India, Vietnam dan China.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf, serta kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang imigresen negara.

Dalam operasi ini juga, Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai.

Menurut YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban, Ketua Pengarah Imigresen dalam kenyataannya, pihak Jabatan telah mengeluarkan kompaun mencecah RM42.6 juta terhadap 2,286 majikan yang didapati menggaji warga asing tanpa dokumen sah bagi tempoh 2025 hingga Februari tahun ini.

Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, memeriksa, menangkap, mendakwa serta menghantar pulang warganegara asing yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan PATI disaran menyalurkan maklumat lengkap terus kepada JIM melalui saluran rasmi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *