

7 April 2026
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Asnida Abdul Daim telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kuala Lumpur atas pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pertuduhan tersebut adalah kerana memberikan satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) akta yang sama, dengan gagal mengisytiharkan pemilikan saham dalam lima (5) buah syarikat.
Tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Mahkamah menetapkan syarat jaminan dan arahan berikut:
i. Jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin;
ii. Penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah; dan
iii. Tarikh sebutan semula kes pada 21 Mei 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah pada hari ini telah membenarkan permohonan pengeluaran Waran Tangkap terhadap tiga (3) individu berikut:
i. Muhammed Amin Zainuddin bin Daim;
ii. Muhammed Amir Zainuddin bin Daim; dan
iii. Josephine Premla Sivaretnam.
Permohonan tersebut dibuat susulan kegagalan penama-penama berkenaan untuk hadir serta tidak dapat dikesan bagi tujuan pertuduhan.
Mahkamah seterusnya telah membenarkan suatu perintah penangguhan sementara (interim stay) ke atas pelaksanaan waran tangkap berkenaan, bagi memberi ruang kepada pihak peguam memfailkan permohonan lanjut di Mahkamah Tinggi.
SPRM menghormati dan mematuhi sepenuhnya perintah Mahkamah tersebut, dan segala tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selaras dengan proses perundangan yang sedang berjalan.
Dalam masa yang sama, SPRM terus mengambil langkah-langkah memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan luar negara, antaranya pihak berkuasa di United Kingdom (UK), bagi mengesan keberadaan penama-penama terlibat.
NOTIS MERAH
Usaha ini melibatkan perkongsian maklumat risikan serta koordinasi tindakan penguatkuasaan rentas sempadan bagi memastikan individu yang terlibat dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan, tertakluk kepada proses perundangan yang berkuat kuasa.
Selain itu, SPRM juga sedang mengambil tindakan untuk mendapatkan Notis Merah (Red Notice) melalui INTERPOL, selaras dengan prosedur dan undang-undang antarabangsa yang berkaitan.
SPRM menegaskan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan.
Pada masa yang sama, usaha penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara profesional, telus dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi kehendak undang-undang.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
7 APRIL 2026
